NEw News

Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

PM tidak nampak sebarang hasil debat dicadang Anwar




PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau berhubung “Pelan 100 hari” pembangkang.

Perdana Menteri berkata, yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.

“Kalau nak debat, kita mesti ada sesuatu hasil daripada debat itu. Saya tak nampak ada hasil, yang penting sekali ialah penilaian daripada rakyat,” katanya kepada pemberita di Seri Perdana di sini semalam selepas majlis ramah mesra meraikan skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF pada bulan lepas.

Najib berkata, demikian ketika diminta mengulas cabaran Anwar untuk berdebat dengan beliau berhubung “Pelan 100 hari” pakatan pembangkang jika mereka menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru.

Sebelum ini, Perdana Menteri menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Najib berkata, pakatan pembangkang boleh membuat pembentangan mereka dan Barisan Nasional akan turut membuat pembentangan berhubung perkara itu.

“Dan kita boleh buat macam-macam penilaian atas perancangan tersebut (pelan). Biar rakyat menentukan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika ada orang lain yang mahu berdebat dengan Anwar seperti Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, itu terserah kepada masing-masing dan beliau tidak akan menghalangnya. - Bernama

Thursday, December 23, 2010

30,863 calon PMR dapat semua A




PUTRAJAYA - Seramai 30,863 daripada 439,456 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini memperoleh semua A, peningkatan 0.65 peratus berbanding 28,188 calon tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini adalah 2.74 berbanding 2.78 tahun lalu, menunjukkan peningkatan pencapaian pelajar pada tahun ini.

“Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2010 dalam 16 mata pelajaran adalah yang terbaik daripada perbandingan empat tahun,” katanya semasa membentangkan analisis keputusan PMR 2010 di sini semalam.

Pada tahun ini, calon yang mendapat semua E menurun kepada 386 orang daripada 397 orang tahun lepas.

Abdul Ghafar berkata, bagi calon luar bandar, pencapaian mereka mencatatkan peningkatan daripada segi nilai GPN, pencapaian semua A dan pencapaian melepasi tahap minimum.

Nilai GPN calon luar bandar adalah 2.97 berbanding 2.93 manakala calon bandar mencatat nilai GPN daripada 2.68 kepada 2.65, bermakna jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar semakin rapat, katanya.

Abdul Ghafar berkata, pencapaian calon “istimewa” pada tahun ini secara keseluruhannya menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lepas, walaupun jumlah yang menduduki peperiksaan bertambah daripada 1,188 kepada 1,345 orang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai lima pelajar berjaya mendapat semua A, berbanding tujuh tahun lepas manakala 146 pelajar melepasi tahap minimum berbanding 161 sebelumnya.

Abdul Ghafar berkata, enam mata pelajaran menunjukkan kenaikan signifikan dalam Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 2010 berbanding tahun lepas, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Pertanian.

Bagi mata pelajaran Pendidikan Kesenian yang merupakan tahun kedua diperkenalkan dalam peperiksaan PMR, Bidang Tari menunjukkan pencapaian tertinggi daripada segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (pencapaian tertinggi), diikuti Teater, Muzik dan Seni Visual. - Bernama

Sunday, December 19, 2010

WikiLeaks sasar Bank of America

SEORANG penyokong WikiLeaks di London membawa sepanduk menuntut pihak berkuasa tidak menghukum Assange.
SEORANG penyokong WikiLeaks di London membawa sepanduk menuntut pihak berkuasa tidak menghukum Assange.
Assange berang kena sekatan institusi kewangan

NEW YORK: Pengasas WikiLekas, Jilian Assange semalam berikrar untuk membocorkan maklumat mengenai bank pula kerana pertubuhan pimpinannya sering menjadi sasaran serangan institusi kewangan tertentu.
“Kami sering diserang, bukan oleh kerajaan terutama, walaupun keadaan semakin panas sekarang tetapi bank termasuk dari Dubai, Switzerland, Amerika Syarikat, United Kingdom, jadi pastinya kami akan terus menyiarkan bahan mengenai bank,” katanya kepada televisyen CNBC.
Dalam satu temubual disiarkan bulan lalu oleh majalah Forbes, Assange mendakwa satu ‘kebocoran mega’ terbaru akan menyasarkan sebuah bank utama Amerika, awal tahun depan.

Assange berkata, kebocoran maklumat bank terbabit akan memberikan gambaran sebenar mengenai bagaimana institusi itu bertindak di peringkat eksekutif dalam cara akan merangsang siasatan dan perbaharuan.’

Rakyat Australia itu berkata, beliau bersedia untuk mendedahkan berpuluh ribu dokumen yang mungkin akan menjatuhkan satu atau dua bank. Sasaran utama adalah Bank of America, berdasarkan komen tahun lalu daripada Assange.

Selepas menyiarkan beribu-ribu kabel diplomatik rahsia, Assange ditahan kerana serangan seksual dan menyaksikan sekurang-kurangnya satu akaun bank Switzerland dibekukan.
Bank of America pula menyertai langkah MasterCard, PayPal, Visa Europe dan agensi perbankan lain untuk tidak memproses transaksi WikiLeaks.

Sementara itu, di STOCKHOLM, dua wanita Sweden yang menuduh Assange merogol, melakukan pencabulan seksual secara paksaan didedahkan sebagai aktivis wanita berusia 31 tahun dan seorang peminatnya berusia 27 tahun.

Sejak kes itu didedahkan, mereka mula menjauhkan diri daripada menjadi tumpuan dengan seorang daripadanya ke wilayah Palestin untuk misi Kristian manakala seorang lagi memotong talian telefonnya.

Identiti mereka dirahsiakan oleh pendakwa Sweden. Mereka dinamakan sebagai Miss A dan Miss W dalam perbicaraan di sebuah mahkamah British.

Mereka masih menangguhkan tuntutan untuk mengesktradisi Assange ke Sweden untuk soal siasat mengenai dakwaan kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu. – AFP

Wednesday, December 15, 2010

Lebih 17,000 wanita berhenti kerja

KUALA LUMPUR - Seramai 17,126 wanita tempatan berhenti kerja bagi tempoh Oktober 2008 hingga April lalu akibat kesan krisis ekonomi global.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kesan krisis global adalah lebih besar ke atas wanita berbanding lelaki kerana mereka ini lebih mudah terdedah kepada risiko krisis tersebut.

“Bagaimanapun, kerajaan mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan pengupayaan ekonomi golongan wanita yang terjejas itu,” katanya menjawab soalan Senator J Usha Nandhini pada persidangan Dewan Negara semalam.

Shahrizat berkata, antara langkah itu adalah mengadakan latihan kemahiran bagi membolehkan wanita menjana pendapatan melalui program seperti Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), Jejari Bestari dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA).

Beliau berkata, pada masa ini juga kementerian telah berjaya melatih dan membangunkan seramai 4,550 orang usahawan wanita di bawah inisiatif NKRA kementerian.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,629 orang usahawan wanita dilahirkan dengan pendapatan melebihi RM3,500.

Beliau berkata, kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh dari 46.4 ke 55 peratus pada tahun 2015 di bawah Rancangan Malaysia ke-10. “Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan seperti menggiatkan usaha mewujudkan keseimbangan antara kerjaya dan kerja melalui pelaksanaan waktu kerja anjal dan bekerja dari rumah,” katanya.

Menerusi kaedah bekerja dari rumah, Shahrizat berkata, sehingga September lepas, Jabatan Tenaga Kerja melaporkan seramai 2,823 orang wanita telah mendapat pekerjaan dengan 159 buah syarikat swasta.

Nik Aziz bebas rasuah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup dua kes berprofil tinggi membabitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung dakwaan menerima tajaan sebanyak RM65,000 oleh sebuah syarikat swasta untuk mengerjakan haji pada awal tahun lalu.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil berkata, SPRM turut mendapati Nik Abdul Aziz bebas daripada tuduhan salah guna kuasa dalam pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Hasil siasatan SPRM dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail mendapati tiada sebarang tuduhan boleh dibuat kerana Nik Abdul Aziz tidak pernah meminta pembiayaan kos tersebut malah tidak melaksanakan haji pada hujung tahun lalu.

“Manakala pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi lebih kepada pertukaran nama jawatan iaitu daripada Ketua Pegawai Operasi kepada CEO PMBK,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat PPO bersama SPRM semalam.

Menurutnya, dalam enakmen PMBK Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar mempunyai kuasa penuh untuk melantik pegawai dan kakitangan PMBK.

“Bagaimanapun, SPRM mendapati wujud kelemahan dalam sistem pentadbiran berhubung pelantikan pegawai kerajaan negeri yang menyebabkan tatacara pelantikan boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu.

“PPO meminta SPRM menasihatkan semua Kerajaan Negeri supaya membuat penambahbaikan dalam sistem pentadbiran yang telus untuk mengelak konflik berkepentingan berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz didakwa menerima pakej mengerjakan haji sebanyak RM65,000 oleh pemilik sebuah syarikat pada 2009.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat bukti baru dalam siasatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Pengerusi Eksekutif Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli.

“Memang terdapat bukti baru dan dakwaan mengatakan SPRM tidak membuat siasatan terhadap Tajuddin adalah tidak benar kerana ia masih dalam siasatan.

“Kita tidak boleh dedahkan apa-apa kerana ia masih dalam siasatan kerana terdapat saksi-saksi baru dan berharap mereka dapat tampil ke hadapan supaya kes ini dapat diselesaikan,” katanya.

Tajuddin didakwa menyebabkan kerugian MAS sebanyak RM8 bilion semasa menerajuinya pada tahun 1994 hingga 2001.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SPRM turut tidak meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kerana didakwa tidak mengisytiharkan dirinya sebagai Pengarah dan mempunyai pegangan saham dalam sebuah syarikat.