NEw News

Wednesday, November 16, 2011

Istana Negara kini di Jalan Duta


BENDERA Peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di pekarangan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Upacara pemindahan Istana Negara dari istana yang lama di Bukit Petaling ke istana yang baharu di Jalan Duta di sini dilakukan secara penuh istiadat di sini semalam.

Ia bermula dengan upacara menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana lama yang berusia 83 tahun di tepi Bukit Petaling kira-kira pukul 9 pagi.

Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan 10 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu menandakan penutupan rasmi bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu.

Bendera itu kemudiannya diarak keluar dari kawasan istana pada pukul 9.15 pagi dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di hadapan pagar masuk istana dan dibawa ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Tengku Farok Hussin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri mengunci pintu masuk utama istana lama menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.
Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda melibatkan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.
Selepas itu, Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baharu bernilai kira-kira RM800 juta itu menandakan pemindahan rasmi tersebut.
Istiadat itu dimulakan dengan perbarisan oleh 52 anggota RAMD serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda.

Thursday, March 24, 2011

Buku Jingga janji saudagar mimpi: Pelan transformasi bertepatan

Pendekatan Perdana Menteri berinteraksi dengan rakyat sesuai peredaran masa

KUALA LUMPUR: Pelan transformasi dan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan adalah bertepatan dengan peredaran masa, terutama apabila kepentingan rakyat paling utama dalam membuat sebarang keputusan seiring slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata dalam situasi sekarang di mana rakyat lebih bermaklumat terutama golongan muda, pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berinteraksi dengan rakyat wajar dipuji.

“Pada zaman ini, rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dan langkah mendapatkan pandangan rakyat berkaitan pelbagai isu dan perancangan kerajaan adalah sesuatu perubahan yang baik. 

“Bagaimanapun, masih banyak yang boleh diperbaiki dan reformasi dalam sistem penyampaian awam itu masih boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, tetapi pada dasarnya, kita berada di landasan yang betul,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, pihak pembangkang melancarkan Buku Jingga yang dibahagi kepada dua kategori iaitu 10 janji yang akan dilaksanakan dalam 100 hari jika pembangkang menjadi kerajaan persekutuan dan 39 janji di bawah tajuk ‘Dasar Bersama’.

Ismail berkata, penubuhan pelbagai suruhanjaya dan badan pemantauan berkaitan isu dan institusi kerajaan tertentu termasuk Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) turut membawa perubahan positif terhadap sistem penyampaian awam.

Selain PEMANDU, reformasi yang dilaksanakan termasuk penubuhan Suruhanjaya Diraja Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah.
Ismail percaya tentunya Perdana Menteri sendiri masih tidak berpuas hati dengan pencapaian ketika ini dan tentunya antara usaha perlu diberi fokus adalah untuk mengubah tahap pemikiran kakitangan sektor awam.

“Setiap rakyat perlu yakin dengan keupayaan diri masing-masing, barulah ia seiring dengan pelan komprehensif dan konsultatif kerajaan,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, adalah sukar untuk pihak pembangkang untuk menghasilkan sesuatu perubahan dalam tempoh masa 100 hari seperti yang dijanjikan menerusi buku berkenaan kerana kerajaan sedia ada sudah lebih 50 tahun berkhidmat kepada rakyat secara konsisten.

Beliau juga menganggap janji pihak pembangkang itu sebagai tidak realistik kerana mana mungkin melakukan perubahan drastik dalam masa 100 hari sedangkan pindaan undang-undang terutama memerlukan kelulusan pada peringkat Parlimen.

'Saya lebih cinta kucing'

SAYANG...Camelia bersama kucingnya.
SAYANG...Camelia bersama kucingnya. 
SHAH ALAM: “Setiap kali mencium, memeluk dan bermain dengan kucing, naluri saya terhadap lelaki akan hilang,” kata gadis hanya mahu dikenali sebagai Camelia yang membuat pengakuan tidak mahu berkahwin kerana lebih cintakan kucing berbanding lelaki.

Graduan universiti tempatan berusia 24 tahun itu berkata, dia tidak kisah apa tanggapan orang lain, namun yang pasti dia rela tidak berkahwin, sebaliknya ingin sehidup semati bersama 12 kucing kesayangannya.
“Sebelum ini saya mempunyai seorang teman lelaki, namun sejurus dia mengajak saya berkahwin Mei tahun lalu, saya lebih rela menolaknya. Ini kerana jika saya berkahwin dengannya, siapa yang akan membela kucing saya.

“Sejak hari itu, saya semakin cuba menjauhi lelaki kerana saya mahu memberikan tumpuan 100 peratus kepada kucing ini,” katanya.

Dia kini memiliki 12 kucing yang diberi nama Lulu, Wonder Pets, Bobo, Stoki, Chepot, Comot, Lex, Apple, Cici dan Bubu, Bubu 1 dan Bubu 2.

Malah, Camelia menyifatkan cinta terhadap manusia tidak berbaloi berbanding kasih sayang terhadap binatang.

“Bagi saya, lelaki sekarang tidak boleh dipercayai kerana sering curang dan suka mempermainkan wanita, tetapi binatang peliharaan terutama kucing sentiasa setia.

“Saya berpendapat jika saya menghabiskan wang untuk binatang, binatang itu pasti mendoakan kesejahteraan saya. Jika saya menghabiskan wang untuk manusia belum tentu manusia itu berterima kasih.

“Perkahwinan sesuatu yang tidak penting untuk difikirkan berbanding menjaga 12 kucing peliharaan saya yang perlu diberi perhatian selalu,” katanya.

Berikutan itu, Camelia berkata, dia tidak kisah menghabiskan RM500 setiap bulan semata-mata untuk perbelanjaan kucingnya termasuk untuk membeli makanan, pasir, membawa ke klinik dan urusan pembersihan.

“Selain keluarga, kucing makhluk yang paling saya sayang. Saya dapat hidup jika tidak berkahwin atau berkawan, tetapi saya kesunyian jika tidak ditemani kucing comel ini.

“Andai kata satu hari nanti kucing ini mati saya akan berasa amat sedih,” katanya.

Camelia berkata, hatinya akan tenang setiap kali melihat 12 kucingnya bermain, malah turut memberitahu tidak dapat tidur malam jika tidak memeluk dan mencium haiwan itu.

Menurutnya, setiap hari selepas pulang daripada kerja, perkara utama yang akan dilakukannya ialah memeluk kucing dan menciumnya.

Sementara itu, perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali ketika dihubungi berkata, pendirian Camelia menyimpang daripada fahaman Islam.

Katanya, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan setiap umat Islam harus mengikut sunnah Baginda.

Sekiranya umat Islam membuat keputusan sengaja tidak mahu berkahwin, mereka boleh dikategorikan bukan umat Rasulullah.

“Jika itu berlaku, kita bimbang kita akan dijauhi dan tidak mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak,” katanya.

Md Izuddin berkata, perlu diketahui seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Abu Hurairah digelar ‘bapa kucing’ kerana minatnya yang mendalam terhadap kucing serta memelihara banyak kucing, namun dia tetap berkahwin kerana perbuatan itu sebahagian sunnah Rasulullah.